1. Doa Itu Dikabulkan Serta-Merta
 Kebanyakan doa yang diajukan oleh para rasul dan nabi dikabulkan  serta-merta. Doa Rasulullah s.a.w. menjelang perang Badar misalnya,  dikabulkan oleh Allah serta-merta. Begitu juga doa Ibn Abbas r.a. ketika  meminta hujan semasa umat Islam dilanda kemarau yang dahsyat. Belum pun  sempat Ibn Abbas meletakkan tangannya ke bawah, hujan telah turun  mencurah-curah.
 Begitulah juga dengan cerita bagaimana tiga orang pemuda yang berdoa  dengan wasilah amal masing-masing apabila terperangkap dalam sebuah gua  seperti yang diberitakan dalam sebuah hadis yang panjang lagi masyhur.  Pintu gua itu tergerak (membuka ruang) serta-merta setiap kali salah  orang mereka selesai berdoa.  Inilah bukti jaminan Allah melalui  firman-nya yang bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu  mengenai Aku, maka beritahulah mereka sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa  hampir kepada mereka. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa  apabila dia berdoa kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah 2: 186)
 2. Dikabulkan pada Waktu Lain
 Acap kali juga sesuatu doa walaupun baik, dan datang daripada orang  yang baik, pada waktu yang baik, tetapi Allah tangguhkan ke waktu lain.  Hal ini kerana Allah sayangkan hamba-Nya itu. Allah sengaja berbuat  demikian bagi mengujinya sehingga seorang hamba itu bersedia untuk  menerima nikmat-nikmat-Nya. Misalnya, Allah kurniakan kekayaan apabila  hati seorang hamba telah ada rasa syukur kerana memberikannya sebelum  itu akan menjadikan seseorang itu kufur. Allah kurniakan kekuasaan  setelah ada dalam hati seseorang ada rasa tawaduk dan sifat adil, supaya  dia boleh menjadi pemerintah yang baik apabila sudah berkuasa.
 Jika tidak bersedia, dibimbangkan nikmat itu boleh bertukar menjadi  bala. Itulah yang disebut “istidraj” – yakni pemberian Allah yang  merupakan satu kutukan dan memudaratkan untuk iman dan Islam seseorang  yang derhaka kepada-Nya. Oleh sebab itu, sering kali juga Allah menahan  pemberian-Nya kerana kasih sayang-Nya terhadap seseorang. Inilah yang  dinukilkan oleh Prof Dr. K.H. Muhibbuddin Waly dalam bukunya Hakikat  Hikmah Tauhid dan Tasawuf: “Sebab kadang-kadang Allah memperlambat dalam  memperkenankan doa mereka kerana Allah sangat sayang dan cinta  mendengar suara doa yang selalu diucapkan oleh hamba-Nya itu  kepada-Nya.”
 3. Menghindarkan Bahaya
 Doa kita kadang-kadang dikabulkan Allah dengan dihindarkan daripada  bahaya yang mungkin datang. Kita tidak tahu apa bahaya yang ada di  hadapan, lalu Allah datangkan halangan. Boleh jadi kita akan ditimpa  penyakit yang kronik, mengalami kemalangan jalan raya, difitnah atau  sebagainya. Namun dengan doa yang kita panjatkan kepada Allah, Allah  selamatkan kita sebagai ganti apa yang didoakan.
 Hakikat ini sangat sulit untuk difahami kerana ditunaikan tanpa  sedar. Mengapa? Yalah, kita minta yang lain, tetapi Allah berikan  sesuatu yang lain. Namun yang lain itu lebih besar dan bernilai ertinya  berbanding apa yang kita minta. Misalnya, kita minta kejayaan dalam  perniagaan, sebaliknya Allah hindarkan kita daripada penyakit-penyakit  kronik. Bukankah itu sesuatu yang lebih baik?
 Ingatlah apa yang Allah tegaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud:  “Difardukan kamu peperangan padahal kamu membencinya, boleh jadi ada  yang kamu benci baik untuk kamu, dan boleh jadi apa yang kamu sukai  tetapi itu mungkin membawa mudarat bagi kamu. Allah lebih mengetahui  sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al Baqarah 2: 216)
 4. Allah Berikan Sesuatu yang Lebih Baik di Akhirat
 Hidup di dunia cuma sementara. Akhirat itu yang lebih baik dan lebih  kekal. Firman Allah, mafhumnya: “Dan akhirat lebih baik dan kekal.”  (Surah al-A‘la 87: 17) Beruntunglah jika kita mendapat sesuatu kurnia di  akhirat berbanding kurnia di dunia ini.
 Sebagai perbandingan, sehelai rumput di syurga adalah lebih baik  daripada sebutir mutiara di dunia. Kenapa? Kerana rumput di syurga itu  lebih kekal berbanding sebutir mutiara di dunia. Itu baru sehelai  rumput, bayangkan sebutir mutiara di syurga. Ia sesungguhnya, bukan  sahaja lebih kekal malah lebih bernilai daripada sebutir mutiara di  dunia.
 Orang yang berdoa dan doanya tidak dikabulkan di dunia, akan  dikabulkan doa itu di akhirat kelak, insya-Allah. Doa yang dikabulkan di  akhirat itu sesungguhnya lebih baik dan kekal daripada dikabulkan di  dunia lagi. Kadang-kadang Allah menahan kekayaan yang kita pinta di  dunia kerana Allah hendak memberikan kita kekayaan di akhirat. Kekayaan  di akhirat bererti syurga.
 Menyedari hakikat ini, seharusnya kita tidak akan jemu berdoa dan  tidak akan berputus asa hanya kerana doa kita belum ataupun tidak  dikabulkan di dunia. Kita tahu doa itu akan menjadi “saham akhirat”.  Oleh sebab itu, keyakinan kepada hari akhirat sangat penting ketika kita  berdoa di dunia ini. Bagi orang yang yakin akan kehidupan di akhirat,  mereka akan terus-terusan berdoa sekalipun doa mereka seolah-olah tidak  dikabulkan di dunia ini.
 Banyak doa-doa yang diajarkan oleh Allah kepada kita, manfaatnya  untuk hari akhirat. Doa minta dimatikan dengan iman, masuk ke dalam  syurga dengan iman, terhindar daripada api neraka, minta dibangkitkan  dalam keadaan bersama-sama orang yang membuat kebaikan dan jangan  ditempatkan bersama-sama orang yang zalim. Misalnya, Allah menganjurkan  kita berdoa dengan doa ini: “Ya tuhan kami, berilah keampunan bagiku dan  kedua ibu bapaku dan sekalian orang Mukmin pada hari terjadinya hisab  (hari kiamat).” (Surah Ibrahim 14: 41)
 5. Dijadikan Kifarat kepada Dosa-Dosa
 Manusia sentiasa berdosa kepada Allah sama ada yang disengajakan atau  tidak disengajakan. Dosa adalah pendinding untuk kita mendapat bantuan,  keampunan dan kasih sayang Allah. Kita mengharapkan dosa itu diampunkan  dengan taubat. Dan untuk itu kita diwajibkan untuk bertaubat atas  dosa-dosa yang kita sedari.
 Namun, apakah jaminan taubat kita telah diterima sekalipun telah  menempuh syarat-syaratnya? Dan bagaimana pula dosa yang kita lakukan  tanpa kita sedari? Itu lebih sukar diatasi. Mana mungkin kita bertaubat  atas dosa-dosa yang kita rasa kita tidak melakukannya? Maka di sinilah  peranan doa-doa yang kita panjatkan kepada Allah s.w.t. Doa-doa itu  menjadi sebab untuk dosa-dosa kita itu diampunkan walaupun bukan itu  yang kita pohon daripada Allah s.w.t.
 Orang yang berdoa kepada Allah, sentiasa disayangi-Nya. Tanda sayang  Allah kepadanya ialah mengampunkan dosa-dosa orang itu walaupun dia  tidak meminta ampun. Inilah kehebatan dan kebesaran sifat al-Afu (Yang  Maha Pemaaf) dan al-Ghaffar (Yang Maha Mengampuni) Allah s.w.t. Salah  satunya ialah Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya walaupun hamba yang  berdoa itu tidak meminta ampun.
sumber : http://genta-rasa.com/2010/07/21/apa-yang-telah-diberi-vs-dengan-apa-yang-dipinta/